Saturday, 25 June 2011

Pemberontakkan Limbang 1884






Limbang adalah ‘kuripan’ Pengiran Temanggong Pengiran Anak Hashim (Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin, menaiki takhta 1885 ). Setahun sebelum baginda menaiki takhta, penduduk Limbang telah mengadakan pemberontakan membantah cukai yang dikenakan dan kekerasan yang digunakan oleh pemungut cukai. Akibatnya 2 orang pemungut cukai dari Brunei telah dibunuh di Limbang. Pemberontakan di Limbang tidak dapat di selesaikan oleh Pengiran Temenggong Pengiran Anak Hashim, sehinggalah William Treacher (Pemangku Konsul Agung Inggeris di Labuan ) campur tangan dan menamatkan pemberontakan tersebut. Pengiran Temanggong Pengiran Anak Hashim pernah meminta bantuan dari Rajah Charles Brooke untuk menamatkan pemberontakan itu tetapi tidak berjaya.

Apabila pemberontakan Limbang ditamatkan, Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin cuba untuk mengambil kembali daerah Padas, Trusan dan Limbang. Akan tetapi kerana tekanan daripada Peter Leys, Syarikat Inggeris Borneo Utara serta Rajah Charles Brooke, Sarawak, maka Sultan akhirnya bersetuju menyerahkan Trusan dalam tahun 1885 dan Padas dalam tahun 1887 tetapi dengan tegas dan keras, enggan menyerahkan Limbang [ D.S. Ranjit Singh, 1991].

Alasan mengapa Sultan Hashim tidak mahu menyerahkan Limbang kepada kuasa-kuasa asing:

1. Amanat Sultan Abdul Momin, supaya tidak lagi menyerahkan wilayah-wilayah Brunei kepada sama ada Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris atau Rajah Brookes, Sarawak, termasuk juga kuasa-kuasa asing yang lain.

2. Sungai Limbang adalah dalam lingkungan kerajaan Brunei, sebab itu Sultan Hashim sering mengatakan bahawa Brunei adalah Limbang dan Limbang adalah Brunei.

3. Limbang adalah sumber ekonomi Brunei (sago) dan tempat mata pencarian, kehidupan orang-orang Brunei dari generasi ke generasi [surat Sultan Hashim kepada Sir Frederick Weld, 1890 ]. Selain daripada itu Limbang juga merupakan ‘periuk nasi’ bagi Sultan Hashim [ The Straits Times, Singapore, 18 April 1890 ].
 
Tempoh 1882 hingga 1888 Negara Brunei Darussalam semakin mengecil. Tempoh ini menggambarkan kesurvivalan Brunei atau lenyapannya sebuah negara yang paling tua di Borneo. Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Sarawak ghairah memperluaskan wilayah mereka sehingga tidak ada lagi nama Negara Brunei Darussalam. Melihat wilayah Brunei yang semakin kecil dan juga masalah Limbang yang tidak selesai serta cadangan Peter Leys kepada Pejabat Hal Ehwal Luar British untuk membahagi-bahagikan dan hanya meninggalkan Bandar Brunei dan Muara sahaja kepada Sultan Hashim menyebabkan Sultan Hashim merayu dan membuat bantahan kepada kerajaan Baginda Queen (Great Britain) dengan mengutus surat kepada Baginda Queen dalam tahun 1887. Baginda merayu kepada baginda Queen supaya menghalang lebih banyak wilayah Brunei jatuh ketangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Rajah Sarawak.

Masa depan Brunei sepanjang tempoh itu kabur dan tidak selamat. Pegawai Inggeris hampir keseluruhannya enggan memberikan pertolongan kepada Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin untuk mengekalkan kesultanan dan pengambilan wilayah-wilayah Brunei.

Umpamanya Lord Salisbury, Setiausaha Pejabat Luar Britain dalam tahun 1887 berkata dalam minitnya kepada Julian Pauncefote :
“The North Borneo Company and Sarawak are crushing out the Sultan between them. I think we had better let them finish it and made no agreement with the Sultan of Borneo”

Minit ini bukannya hendak menolong tetapi mahu menghapuskan Sultan dan negeri Brunei sendiri.

Dalam surat Rajah Charles Brooke kepada Lord Brassey pula, mahu mengecilkan kerajaan Brunei dengan sekecil-kecilnya:
“..if the Brunei Town and river were left to them, while the rivers Limbang and Tutong were attached to Sarawak, the existence of the Brunei sultanate would in a very short space of time become harmless…[ D.S.Ranjit Singh, 1991].
Pada 1887, Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat mengetuai misi ke Brunei untuk melihat keadaan dan mencadangkan rancangan penyelasaian kepada Sultan Brunei.Sir Frederick Weld, bersimpati akan keadaan Brunei yang semakin kecil dan mencadangkan perlindungan dan seorang Residen kepada Sultan Hashim. Weld juga mencadangkan Syarikat Berpiagan Borneo Utara Inggeris dan Sarawak untuk diberikan perlindungan jika mereka mahu. Kehadiran Sir Frederick Weld memberikan harapan kepada Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin kerana Baginda tidak mahu lagi kehilangan wilayah-wilayah Brunei.

Idea Sir Frederick Weld untuk mengadakan seorang Residen di Brunei telah ditolak oleh Britain akan tetapi idea untuk menubuhkan sebuah Negara perlindungan telah diterima [L.R.Wright, 1970: 200 dan D.S. Ranjit ingh, 1991:72 ]. Dalam tahun 1888, kerajaan Great Britain telah membuat perundingan untuk mengadakan negara-negara perlindungan bagi ketiga-tiga buah negeri: Negara Brunei Darussalam, Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Sarawak.

Perjanjian yang mengandugi 8 artikel akhirnya ditandatangani oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris (13 Mei 1888), Sarawak (5 September 1888) dan Brunei Darussalam, pada 17 September 1888)
 
Perampasan Limbang 1890
Dua tahun selepas Perjanjian 1888, Rajah Charles Brooke telah merampas Limbang dan menaikkan bendera Sarawak di sana pada 17 Mac 1890, serta mengistiharkan bahawa Limbang berada di bawah kerajaan Sarawak. Perampasan ini adalah tanpa pengetahuan, perkenan dan kebenaran Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin. Baginda merasa terharu, terperanjat dan murka ke atas tindakan Rajah Charles Brooke terhadap perampasan tersebut.

Baginda kemudiannya mengutus surat kepada Britain melalui Sir Frederick Weld supaya mengembalikan Limbang dan mengarahkan Charles Brooke meninggalkan Limbang. Baginda merujuk kepada perjanjian 1888 yang tidak dipatuhi oleh Rajah Charles Brooke.

Sultan Hashim dan pembesar-pembesar Brunei serta rakyat Baginda tidak sekali-kali menyerahkan Limbang kepada mana-mana kuasa asing kerana Limbang adalah Brunei dan Brunei adalah Limbang. Rayuan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin kepada kerajaan Great Britain dan Sarawak tidak berhasil.

Rayuan Sultan Hashim kepada Britain untuk mengembalikkan Limbang kepada Brunei berterusan. Malangnya kerajaan Great Britain enggan menolong malah menghantar Mr Neil Penrose Trevenen, Konsul British yang baru bagi Borneo ( 1890-1898 ) pada bulan November 1890 ke Limbang untuk menyiasat perkara yang sebenarnya dan sekali lagi pada bulan April 1891. Di samping itu kerajaan Britain mengarahkan Sir Cecil Clementi Smith supaya Sultan Hashim menyerahkan saja Limbang kepada Sarawak. Tetapi Sultan Hashim dengan keras hati menolak permintaan tersebut. Sir Cecil Clementi Smith juga memberitahu kepada Rajah Charles Brooke bahawa kerajaan Great Britain tidak akan menyokong perampasan Limbang, kecuali jika Sultan Hashim menerima atau diberi wang pampasan ganti rugi.

Berdasarkan laporan N.P. Trevenen, kerajaan Britain bersedia untuk mensahkan perampasan Limbang tetapi persetujuan hendaklah dibuat untuk membayar ganti rugi atau pampasan kepada Sultan Brunei. Mac 1892 wang pampasan dirundingkan dan Sultan Brunei akan menerima $6000 setiap tahun dan kalau baginda tidak menerima wang tersebut dalam masa tiga tahun sejak tarikh perampasan Limbang, maka wang tersebut akan dikembalikan kepada Rajah Charles Brooke. Sultan Hashim dan pembesar-pembesar Brunei tidak mahu menerima walau sesen pun wang tersebut. Baginda tidak rela menggantikan Limbang dengan wang ringgit sebagai ganti rugi ke atas tanah Limbang yang dirampas itu.

Apa pun caranya untuk meyakinkan Baginda supaya menyerahkan Limbang kepada Sarawak, Baginda tetap tidak bersetuju. Usaha Trevenen gagal, dan tempoh selepas tiga tahun tamat dan sehingga tahun 1895 Baginda tetap enggan menerima wang tersebut. Ogos 1895 Pejabat Hal Ehwal Luar Great Britain telah mengistiharkan kes perampasan Limbang oleh Rajah Charles Brooke itu ditutup. Hal ini telah mengecewakan Sultan Hashim. Isu perampasan Limbang masih tetap tidak diterima dalam hidupnya sehingga Baginda mangkat pada 10 May 1906.

Sumber: Perjanjian 1888: Suatu Harapan dan Kekecewaan.
Oleh
Ismail Bin Haji Awang Nordin
Jabatan Sejarah, FASS
Universiti Brunei Darussala


http://www.bruneiresources.com
Facebook|Philo Hiswandee
Facebook|sejarah Sarawak

No comments:

Post a Comment