Wednesday, 22 June 2011

Masyarakat Iban


Pahlawan Iban
Masyarakat Iban merupakan golongan majoriti di negeri Sarawak. Terdapat pelbagai suku kaum masyarakat Iban seperti Balau, Sebuyau, Lemanak dan lain-lain. Masyarakat Iban masih kuat berpegang dengan identiti tradisi mereka di samping mengamalkan pelbagai jenis adat resam yang unik. Dari segi geografi, kebanyakan masyarakat Iban mendiami beberapa kawasan pedalaman yang tertumpu di tengah-tengah negeri Sarawak dan sebilangan kecilnya menetap di kawasan-kawasan bandar. Maklumat berkaitan adat resam dan kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat Iban berikut akan memfokuskan tiga aspek utama dalam kehidupan mereka iaitu kelahiran, perkahwinan dan kematian.          
Secara tradisi kehidupan masyarakat Iban diatur oleh adat mereka yang amat rapat berkait dengan sostem pertanian berhuma (bumai) padi. Di atas kepercayaan kepada semangat padi maka pelbagai perayaan (gawai) dilakukan pada masa tertentu disepanjang tahun.
Gawai diketuai oleh beberapa ketua tertentu bergantung kepada jenis dan tujuannya. Permulaan upacara pertanian padi dilakukan oleh “Tuai Burung” yang melihat gerak-geri dan bunyi burung untuk memulakan acara. Kegiatan pertanian itu sendiri akan diketuai oleh “Tuai Rumah” sebagai ketua dalam rumah panjang. Apakala sampai kepada membaca sampi (jampi), doa dan tusut (salasilah) maka “Lemambang” akan melakukannya dengan melagukan “pengap”. Jika berlaku kesakitan atau sebagainya maka “Manang” akan melakukannya untuk pengubatan.
Dalam konsep masyarakat Iban, “Raja Entala” merupakan kuasa ketuhanan. Dialah yang melahirkan manusia yang menurunkan orang Iban yang memberi segala macam upacara, gawai dan pantang larang dan peraturan hidup bernama “adat”. Segala amcam peraturan, adat-istiadat dan upacara adalah adat.
Untuk memulakan kehidupan bertani maka “Tuai Burung” akan melakukan beburung iaitu melihat dan mendengar beberapa jenis burung. Bunyi burung akan memberikan petanda terhadap bertuah atau buruknya suatu kegiatan dan masa melakukannya. Bunyi burung tidak boleh diketepikan kerana akan mendatangkan bala serta kematian. Namun untuk menilik akan punca penyakit, “Manang” (pawang) akan menggunakan hati babi hutan.
Penyakit dikatakan berpunca dari pelanggaran terhadap “adat” terutama pantang (mali) dan larangan dalam berbagai upacara kepercayaan, kehidupan sosial dan juga kegiatan berhuma. Pelanggaran terhadap pantang berkaitan semangat padi adalah yang paling berat kerana ia melibatkan makanan dan hasil tuaian.
Disepanjang tahun masyarakat Iban merayakan suatu jenis Gawai tertentu bergantung kepada tahap bertani dan juga kehidupan seluruhnya. Gawai kecil adalah semacam doa selamat setelah berjaya mendapat sesuatu atau pun terelak dari bahaya.
Gawai utama ialah yang berkaitan dengan pertanian padi seperti Gawai Batu dan Gawai Benih. Jika berlaku ancaman nyawa masyarakat maka diadakan Gawai Kenyalang atau Gawai Burung, suatu perayaan amat besar yang melibatkan seluruh Rumah Panjang dan jarang dilakukan. Satu lagi Gawai terbesar ialah Gawai Antu yang memperingatkan arwah-arwah moyang-moyang mereka.
Dalam Gawai Utama inilah semua ketua adat akan memainkan peranan termasuk “Tuai Burung”, “Tuai Rumah”. “Lemambang” dan mungkin “Manang”. semua anggota rumah panjang dan jiran-jiran dari rumah panjang lain dijemput dalam perayaan itu. Ia bermula dengan seruan terhadap “antu” atau roh orang yang berkuasa terutama antu arwah-arwah ketua yang telah meninggal dunia. Sepanjang malam Lemambang akan melagukan “pengap” atau jampi menjemput antu dan roh dari seluruh alam untuk bersama. Ketika itu juga makanan dan minuman tuak diedarkan oleh semua bilik dalam rumah panjang dan semua bergembira.
Kehidupan masyarakat Iban berlaku dalam rumah panjang, bilik-bilik dan juga ruang tertentu dalam rumah panjang itu. Di situlah mereka melahirkan anak, berkahwin dan kemudian meninggal dunia dan dikebumikan di kawasan berdekatan rumah panjang. Adat mengatur semua segi kehidupan termasuk nilai utama, kebiasaan harian dan juga hukuman yang melanggar pantang yang berat.
Kanang ak Langkau - Pahlawan Iban

No comments:

Post a Comment