Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik yang terdapat di Sarawak. Umumnya masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam. Justeru itu masyarakat ini merupakan satu cabang dalam masyarakat Melayu. Namun begitu masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka yang tersendiri. Adat resam ini jelas terlihat dalam aspek kehidupan mereka seperti kelahiran, perkahwinan dan juga kematian. Adat resam atau amalan ini diwarisi sejak zaman berzaman dan masih diteruskan hingga ke hari ini.
Sesama dengan suku kaum Iban, Orang Melanau tinggal di dalam rumah panjang (yang dibina dengan tinggi). Namun, masyarakat Melanau pada masa kini telah mengubah cara kehidupan mereka dengan tinggal di dalam rumah kampung yang mengikut corak orang Melayu. Masyarakat Melanau yang bukan beragama Islam mempercayai makhluk ghaib yang dipanggil Ipok.
Suku etnik Melanau berkumpul di persisiran pantai seperti kawasan lembah utara Sungai Rajang, Igan, Mukah, Oya, dan Bintulu. Masyarakat yang terawal di Sarawak menetap di Mukah.
Kegiatan ekonomi utama mereka adalah menangkap hasil laut dan menjadi petani padi sawah bagi sebahagian kecil daripada mereka yang tinggl di pendalaman. Selain ini, perusahaan sagu juga diusahakan oleh kaum ini. Pokok sagu tumbuh di kawasan yang berpaya. Pokok Sagu hanya boleh ditebang selepas sepuluh tahun. Tepung sagu atau lemantak diperoleh daripada isi pokok sagu yang dipanggil ripo. Ripo dijemur sehingga kering dan diproses sebelum dijadikan lemantak, iaitu tepung sagu. Sarawak merupakan pengeksport sagu yang terbesar di Malaysia.
Perayaan Kaul disambut oleh orang Melanau dengan meriah pada bulan Mac/April setiap tahun dalam bulan Pengejin mengikut kalender Melanau. Perayaan ini diadakan untuk menjamu ipok yang mengawal laut. Tujuannya untuk memperoleh tangkapan yang memuaskan dan selamat semasa berada di laut serta mengelakkan pelbagai wabak dan penyakit. Perayaan ini melambangkan berakhirnya musim hujan dan kedatangan atau permulaan musim menangkap ikan. Dalam hari ini, serahang akan disediakan untuk menjamu ipok. Serahang adalah diperbuat daripada daun buluh dan daun nipah dengan memasukkan bertih, telur ayam, pulut kuning, kirai atau rokok daun, dan sirih ke dalamnya. Walau bagaimanapun, perayaan ini datang dengan keghairahan dan kegembiraan.
Selain Pesta Kaul yang disambut meriah setiap tahun, terdapat budaya yang masih utuh diamalkan oleh masyarakat Melanau khususnya yang melibatkan peristiwa kematian ahli keluarga. Walau bagaimanapun, amalan tersebut berbeza-beza mengikut daerah dan kampung. Bagi masyarakat Melanau yang mendiami daerah Matu, amalan yang berkaitan dengan kematian sudah banyak dipengaruhi oleh agama Islam. Selepas selesai majlis pengebumian, ahli keluarga akan bersedia untuk mengadakan upacara "sare" iaitu seperti rumah terbuka selama 7 malam berturut-turut. Rumah keluarga si mati akan dikunjungi oleh sanak saudara dan masyarakat setempat. Akan tetapi ia sudah dipengaruhi oleh agama Islam secara dengan majlis tahlil, bacaan yassin, sembahyang berjemaah, dan kenduri arwah. Adalah fenomena biasa bagi satu keluarga Melanau yang orang tuanya menganuti agama tradisional, dan anak-anak menganuti agama Islam dan Kristian.
Bahasa Melanau mempunyai tatabahasanya yang tersendiri dan tidak begitu sukar untuk dipelajari. Sebagai satu bahasa yang mempunyai banyak dialek, bahasa melanau berkongsi tatabahasa yang serupa. Oleh itu apa yang perlu ditumpukan ialah kosa kata yang unik untuk dialek itu sahaja. Di alam maya laman untuk mempelajari bahasa melanau telah diusahakan oleh orang-orang melanau dan bukan melanau untuk memastikan kemandirian bahasa ini di zaman moden. Antaranya ialah Learn Melanau yang memfokuskan bahasa melanau mukah serta budaya melanau merentasi dialek-dialek.
No comments:
Post a Comment