Saturday, 25 June 2011

Rentap dan Bukit Sadok



Program Ekspedisi Bukit Sadok diadakan bagi memperingati detik-detik bersejarah tentangan diantara Rentap dengan Charles Brooke di kubu kuat Rentap di Bukit Sadok. Sebuah meriam yang dikenali sebagai Bujang Timpang Berang telah digunakan untuk menentang penjajah Inggeris tersebut.

Bukit Sadok adalah terletak di antara hulu Batang Skrang di Bahagian Timur dan hulu Sungai Spak / Batang Layar di Bahagian Barat. Rumah panjang berdekatan adalah Peredu, Gerenjang dan Genting Pisang (Batang Skrang) dan Batu Pesok, Rantau Rayang dan Jambu (Batang Layar).

Untuk ke Bukit Sadok, pengangkutan darat boleh digunakan dari Bandar Betong ke Rh. Giri, Jambu yang mengambil masa selama lebih kurang 2 hingga 3 jam. Dari Rh. Giri, Jambu, pendakian bermula selama lebih kurang 4 hingga 5 jam untuk sampai ke puncak Bukit Sadok.

Pada amnya, Bukit Sadok mempunyai hutan jenis MDF (Mixed Dipterocarp Forests) tetapi di kawasan kemuncak terdapat hutan yang berbentuk Keranggas. Seperti kebiasaanya, jenis pokok yang terdapat terdiri daripada spesis Meranti, Kapur, Keruing, Resak, Luis, Tampar Hutan, Nyatoh, Kayu Malam, Geronggang, Minggi, Mempening (Empili) dan selunsur (Melaban). Dua jenis pokok yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan seperti Bintangor dan Tongkat Ali (spesis yang terlindung sepenuhnya) juga terdapat di kawasan ini.

Di kawasan Bukit Sadok, terdapat haiwan-haiwan yang terlindung sepenuhnya seperti Orang Utan (Maias), Empeliau, Tupai Kerawak, Tupai Tanah (Kerampu), Burung Kenyalang dan Burung Ruai.

Bagi haiwan terlindung adalah seperti Tupai Terbang (Kubong), Beruang, Landak, Enturun, Tenggiling, Munsang, Kesindap, Sengayan, Burung Ensing dan Ular Sawa.

Sejarah Rentap, Bukit Sadok dan Bedil Bujang Timpang Berang


Mengikut sejarah, Rentap telah menggunakan meriam Bujang Timpang Berang untuk mempertahankan kubunya di Bukit Sadok pada bulan Jun 1857. Pada masa tersebut pasukan tentera Rajah yang terdiri dari 3,500 orang Iban dan 500 orang Melayu diketuai oleh Charles Brooke telah mara dari Sungai Skrang untuk menyerang kubu Rentap. Beberapa orang askar Charles Brooke telah cedera parah atau terbunuh. Keadaan ini telah memaksa Charles Brooke untuk berundur seterusnya menamatkan Ekspedisi Pertama mereka.

Dalam Ekspedisi Kedua yang diketuai oleh Charles Brooke dan pasukan tenteranya yang terdiri daripada 2,000 orang Iban dan 200 orang Melayu telah menghampiri Bukit Sadok melalui Sungai Layar, dari Nanga Tiga ke Rapu untuk menentang Rentap pada bulan Ogos 1858, Bujang Timpang Berang telah digunakan untuk mempertahankan kubu Rentap di Bukit Sadok.

Dalam Ekspedisi Ketiga, Charles Brooke telah membawa bersama sebuah bedil bernama Bujang Sadok yang seberat 368 kg yang dibuat di Kuching. Tembakan pertama dari bedil Bujang Sadok telah menembusi dinding kubu dan membunuh ketua penembak bedil Bujang Timpang Berang. Tembakan yang bertalu-talu telah menyebabkan dinding kubu tersebut berjaya ditembusi. Kayu pembawa yang membawa meriam Bujang Sadok juga telah patah. Darah ketua penembak bedil Bujang Timpang Berang telah meresap ke dalam belerang serta menyebabkan bedil Bujang Timpang Berang tidak dapat berfungsi. Kubu berkenaan akhirnya ditawan dan bedil Bujang Timpang Berang dipateri dengan besi pada 29 Oktober 1861. Rentap dan pengikutnya yang terselamat seramai 24 orang berjaya melarikan diri.

Kubu berkenaan telah dibakar pada petang 28 Oktober 1861. Api yang membakar kubu tersebut dapat dilihat dari jauh melalui beberapa buah rumah panjang.

Bujang Timpang Berang telah ditinggalkan dan dibiar tanpa dipedulikan di Bukit Sadok selama 65 tahun. Pada tahun 1926, seorang Pegawai Daerah Betong bernama G.R.H. Arundell dan Penghulu Unji dari Spak telah membawa turun meriam tersebut ke Kubu Lili di Rantau Entanak, Betong. Pada 9 Oktober 1990, Bujang Timpang Berang dialihkan dari Kubu Lili ke Pejabat Daerah di Bukit Bangun, Betong.

Tugu Peringatan Panglima Rentap

Perasmian Tugu Peringatan Panglima Rentap telah diadakan pada 26 Julai 2003 bertempat di Puncak Bukit Sadok, Ulu Layar, Betong. Tetamu Kehormat yang hadir ke majlis tersebut adalah YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu ak Numpang, YB Datuk Douglas Uggah ak Embas, YB Encik Aidan Wing dan Datu Nillie Tanggai. Turut hadir ke majlis yang bersejarah ini adalah Encik Romie Sigan Daniel (Residen Bahagian Betong), Dr. Ngenang Janggu (Residen Bahagian Sri Aman), Encik Isaka Kana (Pegawai Daerah Betong), Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Masyarakat, Ketua-ketua Kaum dari rumah-rumah panjang yang berdekatan serta penduduk sekitar Bahagian Betong dan Sri Aman.

Sebelum upacara perasmian ini, pelbagai usaha pembangunan telah dijalankan di Bukit Sadok. Antara yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan adalah menyediakan pondok-pondok rehat serta laluan mendaki untuk memudahkan para pendaki dan pelancong datang ke situ.



http://betong.pid.net.my/section.cfm?id=49
Facebook|Sejarah Sarawak

No comments:

Post a Comment