Saturday, 25 June 2011

Pemberontakkan Limbang 1884






Limbang adalah ‘kuripan’ Pengiran Temanggong Pengiran Anak Hashim (Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin, menaiki takhta 1885 ). Setahun sebelum baginda menaiki takhta, penduduk Limbang telah mengadakan pemberontakan membantah cukai yang dikenakan dan kekerasan yang digunakan oleh pemungut cukai. Akibatnya 2 orang pemungut cukai dari Brunei telah dibunuh di Limbang. Pemberontakan di Limbang tidak dapat di selesaikan oleh Pengiran Temenggong Pengiran Anak Hashim, sehinggalah William Treacher (Pemangku Konsul Agung Inggeris di Labuan ) campur tangan dan menamatkan pemberontakan tersebut. Pengiran Temanggong Pengiran Anak Hashim pernah meminta bantuan dari Rajah Charles Brooke untuk menamatkan pemberontakan itu tetapi tidak berjaya.

Apabila pemberontakan Limbang ditamatkan, Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin cuba untuk mengambil kembali daerah Padas, Trusan dan Limbang. Akan tetapi kerana tekanan daripada Peter Leys, Syarikat Inggeris Borneo Utara serta Rajah Charles Brooke, Sarawak, maka Sultan akhirnya bersetuju menyerahkan Trusan dalam tahun 1885 dan Padas dalam tahun 1887 tetapi dengan tegas dan keras, enggan menyerahkan Limbang [ D.S. Ranjit Singh, 1991].

Alasan mengapa Sultan Hashim tidak mahu menyerahkan Limbang kepada kuasa-kuasa asing:

1. Amanat Sultan Abdul Momin, supaya tidak lagi menyerahkan wilayah-wilayah Brunei kepada sama ada Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris atau Rajah Brookes, Sarawak, termasuk juga kuasa-kuasa asing yang lain.

2. Sungai Limbang adalah dalam lingkungan kerajaan Brunei, sebab itu Sultan Hashim sering mengatakan bahawa Brunei adalah Limbang dan Limbang adalah Brunei.

3. Limbang adalah sumber ekonomi Brunei (sago) dan tempat mata pencarian, kehidupan orang-orang Brunei dari generasi ke generasi [surat Sultan Hashim kepada Sir Frederick Weld, 1890 ]. Selain daripada itu Limbang juga merupakan ‘periuk nasi’ bagi Sultan Hashim [ The Straits Times, Singapore, 18 April 1890 ].
 
Tempoh 1882 hingga 1888 Negara Brunei Darussalam semakin mengecil. Tempoh ini menggambarkan kesurvivalan Brunei atau lenyapannya sebuah negara yang paling tua di Borneo. Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Sarawak ghairah memperluaskan wilayah mereka sehingga tidak ada lagi nama Negara Brunei Darussalam. Melihat wilayah Brunei yang semakin kecil dan juga masalah Limbang yang tidak selesai serta cadangan Peter Leys kepada Pejabat Hal Ehwal Luar British untuk membahagi-bahagikan dan hanya meninggalkan Bandar Brunei dan Muara sahaja kepada Sultan Hashim menyebabkan Sultan Hashim merayu dan membuat bantahan kepada kerajaan Baginda Queen (Great Britain) dengan mengutus surat kepada Baginda Queen dalam tahun 1887. Baginda merayu kepada baginda Queen supaya menghalang lebih banyak wilayah Brunei jatuh ketangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Rajah Sarawak.

Masa depan Brunei sepanjang tempoh itu kabur dan tidak selamat. Pegawai Inggeris hampir keseluruhannya enggan memberikan pertolongan kepada Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin untuk mengekalkan kesultanan dan pengambilan wilayah-wilayah Brunei.

Umpamanya Lord Salisbury, Setiausaha Pejabat Luar Britain dalam tahun 1887 berkata dalam minitnya kepada Julian Pauncefote :
“The North Borneo Company and Sarawak are crushing out the Sultan between them. I think we had better let them finish it and made no agreement with the Sultan of Borneo”

Minit ini bukannya hendak menolong tetapi mahu menghapuskan Sultan dan negeri Brunei sendiri.

Dalam surat Rajah Charles Brooke kepada Lord Brassey pula, mahu mengecilkan kerajaan Brunei dengan sekecil-kecilnya:
“..if the Brunei Town and river were left to them, while the rivers Limbang and Tutong were attached to Sarawak, the existence of the Brunei sultanate would in a very short space of time become harmless…[ D.S.Ranjit Singh, 1991].
Pada 1887, Sir Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat mengetuai misi ke Brunei untuk melihat keadaan dan mencadangkan rancangan penyelasaian kepada Sultan Brunei.Sir Frederick Weld, bersimpati akan keadaan Brunei yang semakin kecil dan mencadangkan perlindungan dan seorang Residen kepada Sultan Hashim. Weld juga mencadangkan Syarikat Berpiagan Borneo Utara Inggeris dan Sarawak untuk diberikan perlindungan jika mereka mahu. Kehadiran Sir Frederick Weld memberikan harapan kepada Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin kerana Baginda tidak mahu lagi kehilangan wilayah-wilayah Brunei.

Idea Sir Frederick Weld untuk mengadakan seorang Residen di Brunei telah ditolak oleh Britain akan tetapi idea untuk menubuhkan sebuah Negara perlindungan telah diterima [L.R.Wright, 1970: 200 dan D.S. Ranjit ingh, 1991:72 ]. Dalam tahun 1888, kerajaan Great Britain telah membuat perundingan untuk mengadakan negara-negara perlindungan bagi ketiga-tiga buah negeri: Negara Brunei Darussalam, Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris dan Sarawak.

Perjanjian yang mengandugi 8 artikel akhirnya ditandatangani oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris (13 Mei 1888), Sarawak (5 September 1888) dan Brunei Darussalam, pada 17 September 1888)
 
Perampasan Limbang 1890
Dua tahun selepas Perjanjian 1888, Rajah Charles Brooke telah merampas Limbang dan menaikkan bendera Sarawak di sana pada 17 Mac 1890, serta mengistiharkan bahawa Limbang berada di bawah kerajaan Sarawak. Perampasan ini adalah tanpa pengetahuan, perkenan dan kebenaran Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin. Baginda merasa terharu, terperanjat dan murka ke atas tindakan Rajah Charles Brooke terhadap perampasan tersebut.

Baginda kemudiannya mengutus surat kepada Britain melalui Sir Frederick Weld supaya mengembalikan Limbang dan mengarahkan Charles Brooke meninggalkan Limbang. Baginda merujuk kepada perjanjian 1888 yang tidak dipatuhi oleh Rajah Charles Brooke.

Sultan Hashim dan pembesar-pembesar Brunei serta rakyat Baginda tidak sekali-kali menyerahkan Limbang kepada mana-mana kuasa asing kerana Limbang adalah Brunei dan Brunei adalah Limbang. Rayuan Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin kepada kerajaan Great Britain dan Sarawak tidak berhasil.

Rayuan Sultan Hashim kepada Britain untuk mengembalikkan Limbang kepada Brunei berterusan. Malangnya kerajaan Great Britain enggan menolong malah menghantar Mr Neil Penrose Trevenen, Konsul British yang baru bagi Borneo ( 1890-1898 ) pada bulan November 1890 ke Limbang untuk menyiasat perkara yang sebenarnya dan sekali lagi pada bulan April 1891. Di samping itu kerajaan Britain mengarahkan Sir Cecil Clementi Smith supaya Sultan Hashim menyerahkan saja Limbang kepada Sarawak. Tetapi Sultan Hashim dengan keras hati menolak permintaan tersebut. Sir Cecil Clementi Smith juga memberitahu kepada Rajah Charles Brooke bahawa kerajaan Great Britain tidak akan menyokong perampasan Limbang, kecuali jika Sultan Hashim menerima atau diberi wang pampasan ganti rugi.

Berdasarkan laporan N.P. Trevenen, kerajaan Britain bersedia untuk mensahkan perampasan Limbang tetapi persetujuan hendaklah dibuat untuk membayar ganti rugi atau pampasan kepada Sultan Brunei. Mac 1892 wang pampasan dirundingkan dan Sultan Brunei akan menerima $6000 setiap tahun dan kalau baginda tidak menerima wang tersebut dalam masa tiga tahun sejak tarikh perampasan Limbang, maka wang tersebut akan dikembalikan kepada Rajah Charles Brooke. Sultan Hashim dan pembesar-pembesar Brunei tidak mahu menerima walau sesen pun wang tersebut. Baginda tidak rela menggantikan Limbang dengan wang ringgit sebagai ganti rugi ke atas tanah Limbang yang dirampas itu.

Apa pun caranya untuk meyakinkan Baginda supaya menyerahkan Limbang kepada Sarawak, Baginda tetap tidak bersetuju. Usaha Trevenen gagal, dan tempoh selepas tiga tahun tamat dan sehingga tahun 1895 Baginda tetap enggan menerima wang tersebut. Ogos 1895 Pejabat Hal Ehwal Luar Great Britain telah mengistiharkan kes perampasan Limbang oleh Rajah Charles Brooke itu ditutup. Hal ini telah mengecewakan Sultan Hashim. Isu perampasan Limbang masih tetap tidak diterima dalam hidupnya sehingga Baginda mangkat pada 10 May 1906.

Sumber: Perjanjian 1888: Suatu Harapan dan Kekecewaan.
Oleh
Ismail Bin Haji Awang Nordin
Jabatan Sejarah, FASS
Universiti Brunei Darussala


http://www.bruneiresources.com
Facebook|Philo Hiswandee
Facebook|sejarah Sarawak

Sejarah Limbang (extra)



Usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Charles brooke untuk meluaskan kuasanya di Sarawak.
Charles Brooke anak saudara kepada James Brooke dan memerintah Sarawak hampir 48 tahun. Beliau dilantik menjadi Raja Sarawak kedua pada 3 ogos 1868 dan mengangkat sumpah pada 11 okterber 1868.Beliau seorang yang permurah tetapi berpendirian tegas.Charles juga dianggap seorang yang berfikiran terbuka, cergas dan menggunakan kewarasan politik dalam pentadbiran.Tugas utama Charles ialah untuk menyusun pentadbiran memastikan kerajaan tidak banyak berhutang seperti zaman bapa saudaranya.

Beliau juga menjalankan dasar berjimat cermat dalam permerintahannya.
Sarawak dibahagikan kepada tiga bahagian, setiap bahagian ditadbir oleh seorang residen (Eropah) dengan dibantu oleh seorang penolong residen dan pegawai daerah. Bagi pentadbiran anak negeri, ketua-ketua tempatan orang melayu, cina dan dayak terus dikekalkan. Ketua-ketua ini dilantik oleh residen. Masalah-masalah dalam masyarakat akan dikendalikan oleh ketua masyarakat masing-masing. Kadang kala raja sendiri terpaksa campur tangan apabila masalah yang timbul melibatkan antara dua kaum atau lebih.

Charles brooke juga membawa masuk mubaligh-mubaligh Kristian yang bermazhab Roman Katolik. Tugas mubaligh adalah untuk mengkristiankan penduduk tempatan terutamanya pendudk yang masih mengamalkan agama animisme. Selain itu,beliau mewujudkan sekolah-sekolah dan beberapa kemudahan yang lain.

Dalam perkara ini, beliau memang bersikap sebagai seorang yang imperialis. Charles tidak begitu berminat untuk menambahkan kekayaan Negara tetapi beliau lebih cenderung untuk meluaskan jajahan Sarawak. Charles menjalankan dasar perluasan kuasa ke arah utara ini iaitu bermula sejak zaman Raja Putih pertama lagi dan disambung oleh Charles Brooke. Beliau telah meminta daerah Baram daripada Sultan Brunei pada awal tahun 1868, sebagai gantinya baginda akan mendapat bayaran yang swajarnya setiap tahun. Selain itu, Charles juga merancang hendak menambah kawasan pantai Sarawak supaya menjadi seratus batu panjang.

Walaubagaimana pun segala permintaan dan cadangan Charles brooke ditolak oleh Sultan Brunei dan baginda meminta perlindungan daripada Gabenor Pope-Hennessy yang merupakan Konsul Jeneral British bagi borneo dengan mendakwa bahawa brunei berhak mendapat perlindungan British dibawah persetiaan tahun 1847. Charles brooke menjadi marah dan setelah masalah itu dapat diselesaikan, Charles mencuba sekali lagi untuk mendapatkan Baram.

Pada tahun 1883, orang Kayan yang mendiami kawasan Sungai Baram bangun menentang kerajaan Brunei. Hal ini menyebabkan , beliau mudah untuk mendapatkan daerah tersebut atas desakan rakyat yang tidak mahu berlindung dibawah pemerintahan Brunei. Charles berjaya mendapatkan Baram dan seluruh lembangan sungai Baram daripada Sultan Brunei dengan bayaran ufti sebanyak $4,200 setahun. Sultan Brunei menyerahkan pula daerah Sungai Terusan tanpa sebarang bayaran setelah gagal mengatasi masalah kekacauan di situ.

Manakala limbang pula, sejak tahun 1884 lagi penduduk limbang yang bersepadan dengan Brunei, telah memberontak melawan pemerintahnya kerajaan Brunei. Kerana penduduk di Limbang tidak tahan menanggung penderitaan dan kezaliman pembesar brunei yang memerintah di Limbang. Pemberontakan tersebut telah berlaku sejak sekian lama, namun tidak dapat mengubah sikap pembesar Brunei tersebut. Akhirnya pada bulan mac tahun 1890 penduduk dilimbang telah mengibarkan bendera kerajaan Sarawak.

Penduduk limbang meminta Charles Brooke mengambil Limbang menjadi wilayah baru di Sarawak, dengan kebenaran kerajaan british di England Charles Brooke telah berjaya mendapat daerah Limbang. Wilayah yang seterusnya yang diperolehi oleh Charles Brooke ialah daerah Lawas. Maka dengan ini lengkaplah sudah perluasan kuasa Charles Brooke ke atas Sarawak.

Kesimpulan
James Brooke berjaya menguasai 2/3 tanah jajahan di sarawak dengan beberapa usaha yang dijalankan seperti membuat perjanjian,ugutan terhadap Sultan Brunei dan memerangi lanun-lanun yang memberontak di Sarawak.Selain itu, dengan peralatan kapal perang yang canggih memudahkan lagi proses pengambilan wilayah dan tanah jajahan di Sarawak.

Di tambah dengan sokongan daripada pembesar tempatan iaitu Pengiran Muda Hasyim menyebabkan James brooke tidak mempunyai masalah untuk menjadi seorang Rajah di Sarawak. Setelah kematian beliau anak saudaranya iaitu Charles Brooke mengambilalih pemerintahan di Sarawak.

Charles juga berjaya memantapkan pentadbiran dan ekonomi Sarawak dan seterusnya berjaya melengkapkan penguasaan kesemua tanah jajahan dengan berjaya menguasai daerah limbang dan lawas.

Rentap dan Bukit Sadok



Program Ekspedisi Bukit Sadok diadakan bagi memperingati detik-detik bersejarah tentangan diantara Rentap dengan Charles Brooke di kubu kuat Rentap di Bukit Sadok. Sebuah meriam yang dikenali sebagai Bujang Timpang Berang telah digunakan untuk menentang penjajah Inggeris tersebut.

Bukit Sadok adalah terletak di antara hulu Batang Skrang di Bahagian Timur dan hulu Sungai Spak / Batang Layar di Bahagian Barat. Rumah panjang berdekatan adalah Peredu, Gerenjang dan Genting Pisang (Batang Skrang) dan Batu Pesok, Rantau Rayang dan Jambu (Batang Layar).

Untuk ke Bukit Sadok, pengangkutan darat boleh digunakan dari Bandar Betong ke Rh. Giri, Jambu yang mengambil masa selama lebih kurang 2 hingga 3 jam. Dari Rh. Giri, Jambu, pendakian bermula selama lebih kurang 4 hingga 5 jam untuk sampai ke puncak Bukit Sadok.

Pada amnya, Bukit Sadok mempunyai hutan jenis MDF (Mixed Dipterocarp Forests) tetapi di kawasan kemuncak terdapat hutan yang berbentuk Keranggas. Seperti kebiasaanya, jenis pokok yang terdapat terdiri daripada spesis Meranti, Kapur, Keruing, Resak, Luis, Tampar Hutan, Nyatoh, Kayu Malam, Geronggang, Minggi, Mempening (Empili) dan selunsur (Melaban). Dua jenis pokok yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan seperti Bintangor dan Tongkat Ali (spesis yang terlindung sepenuhnya) juga terdapat di kawasan ini.

Di kawasan Bukit Sadok, terdapat haiwan-haiwan yang terlindung sepenuhnya seperti Orang Utan (Maias), Empeliau, Tupai Kerawak, Tupai Tanah (Kerampu), Burung Kenyalang dan Burung Ruai.

Bagi haiwan terlindung adalah seperti Tupai Terbang (Kubong), Beruang, Landak, Enturun, Tenggiling, Munsang, Kesindap, Sengayan, Burung Ensing dan Ular Sawa.

Sejarah Rentap, Bukit Sadok dan Bedil Bujang Timpang Berang


Mengikut sejarah, Rentap telah menggunakan meriam Bujang Timpang Berang untuk mempertahankan kubunya di Bukit Sadok pada bulan Jun 1857. Pada masa tersebut pasukan tentera Rajah yang terdiri dari 3,500 orang Iban dan 500 orang Melayu diketuai oleh Charles Brooke telah mara dari Sungai Skrang untuk menyerang kubu Rentap. Beberapa orang askar Charles Brooke telah cedera parah atau terbunuh. Keadaan ini telah memaksa Charles Brooke untuk berundur seterusnya menamatkan Ekspedisi Pertama mereka.

Dalam Ekspedisi Kedua yang diketuai oleh Charles Brooke dan pasukan tenteranya yang terdiri daripada 2,000 orang Iban dan 200 orang Melayu telah menghampiri Bukit Sadok melalui Sungai Layar, dari Nanga Tiga ke Rapu untuk menentang Rentap pada bulan Ogos 1858, Bujang Timpang Berang telah digunakan untuk mempertahankan kubu Rentap di Bukit Sadok.

Dalam Ekspedisi Ketiga, Charles Brooke telah membawa bersama sebuah bedil bernama Bujang Sadok yang seberat 368 kg yang dibuat di Kuching. Tembakan pertama dari bedil Bujang Sadok telah menembusi dinding kubu dan membunuh ketua penembak bedil Bujang Timpang Berang. Tembakan yang bertalu-talu telah menyebabkan dinding kubu tersebut berjaya ditembusi. Kayu pembawa yang membawa meriam Bujang Sadok juga telah patah. Darah ketua penembak bedil Bujang Timpang Berang telah meresap ke dalam belerang serta menyebabkan bedil Bujang Timpang Berang tidak dapat berfungsi. Kubu berkenaan akhirnya ditawan dan bedil Bujang Timpang Berang dipateri dengan besi pada 29 Oktober 1861. Rentap dan pengikutnya yang terselamat seramai 24 orang berjaya melarikan diri.

Kubu berkenaan telah dibakar pada petang 28 Oktober 1861. Api yang membakar kubu tersebut dapat dilihat dari jauh melalui beberapa buah rumah panjang.

Bujang Timpang Berang telah ditinggalkan dan dibiar tanpa dipedulikan di Bukit Sadok selama 65 tahun. Pada tahun 1926, seorang Pegawai Daerah Betong bernama G.R.H. Arundell dan Penghulu Unji dari Spak telah membawa turun meriam tersebut ke Kubu Lili di Rantau Entanak, Betong. Pada 9 Oktober 1990, Bujang Timpang Berang dialihkan dari Kubu Lili ke Pejabat Daerah di Bukit Bangun, Betong.

Tugu Peringatan Panglima Rentap

Perasmian Tugu Peringatan Panglima Rentap telah diadakan pada 26 Julai 2003 bertempat di Puncak Bukit Sadok, Ulu Layar, Betong. Tetamu Kehormat yang hadir ke majlis tersebut adalah YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu ak Numpang, YB Datuk Douglas Uggah ak Embas, YB Encik Aidan Wing dan Datu Nillie Tanggai. Turut hadir ke majlis yang bersejarah ini adalah Encik Romie Sigan Daniel (Residen Bahagian Betong), Dr. Ngenang Janggu (Residen Bahagian Sri Aman), Encik Isaka Kana (Pegawai Daerah Betong), Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Masyarakat, Ketua-ketua Kaum dari rumah-rumah panjang yang berdekatan serta penduduk sekitar Bahagian Betong dan Sri Aman.

Sebelum upacara perasmian ini, pelbagai usaha pembangunan telah dijalankan di Bukit Sadok. Antara yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan adalah menyediakan pondok-pondok rehat serta laluan mendaki untuk memudahkan para pendaki dan pelancong datang ke situ.



http://betong.pid.net.my/section.cfm?id=49
Facebook|Sejarah Sarawak

Wednesday, 22 June 2011

Masyarakat Melanau

Rumah Kaum Melanau


Masyarakat Melanau merupakan masyarakat etnik yang terdapat di Sarawak. Umumnya masyarakat Melanau mempunyai persamaan dengan masyarakat Melayu baik dari segi kepercayaan, kebudayaan dan adat resam. Justeru itu masyarakat ini merupakan satu cabang dalam masyarakat Melayu. Namun begitu masyarakat Melanau tetap mempunyai budaya dan adat resam mereka yang tersendiri. Adat resam ini jelas terlihat dalam aspek kehidupan mereka seperti kelahiran, perkahwinan dan juga kematian. Adat resam atau amalan ini diwarisi sejak zaman berzaman dan masih diteruskan hingga ke hari ini.

Sesama dengan suku kaum Iban, Orang Melanau tinggal di dalam rumah panjang (yang dibina dengan tinggi). Namun, masyarakat Melanau pada masa kini telah mengubah cara kehidupan mereka dengan tinggal di dalam rumah kampung yang mengikut corak orang Melayu. Masyarakat Melanau yang bukan beragama Islam mempercayai makhluk ghaib yang dipanggil Ipok.

Suku etnik Melanau berkumpul di persisiran pantai seperti kawasan lembah utara Sungai Rajang, Igan, Mukah, Oya, dan Bintulu. Masyarakat yang terawal di Sarawak menetap di Mukah.

Kegiatan ekonomi utama mereka adalah menangkap hasil laut dan menjadi petani padi sawah bagi sebahagian kecil daripada mereka yang tinggl di pendalaman. Selain ini, perusahaan sagu juga diusahakan oleh kaum ini. Pokok sagu tumbuh di kawasan yang berpaya. Pokok Sagu hanya boleh ditebang selepas sepuluh tahun. Tepung sagu atau lemantak diperoleh daripada isi pokok sagu yang dipanggil ripo. Ripo dijemur sehingga kering dan diproses sebelum dijadikan lemantak, iaitu tepung sagu. Sarawak merupakan pengeksport sagu yang terbesar di Malaysia.

Perayaan Kaul disambut oleh orang Melanau dengan meriah pada bulan Mac/April setiap tahun dalam bulan Pengejin mengikut kalender Melanau. Perayaan ini diadakan untuk menjamu ipok yang mengawal laut. Tujuannya untuk memperoleh tangkapan yang memuaskan dan selamat semasa berada di laut serta mengelakkan pelbagai wabak dan penyakit. Perayaan ini melambangkan berakhirnya musim hujan dan kedatangan atau permulaan musim menangkap ikan. Dalam hari ini, serahang akan disediakan untuk menjamu ipok. Serahang adalah diperbuat daripada daun buluh dan daun nipah dengan memasukkan bertih, telur ayam, pulut kuning, kirai atau rokok daun, dan sirih ke dalamnya. Walau bagaimanapun, perayaan ini datang dengan keghairahan dan kegembiraan.


Selain Pesta Kaul yang disambut meriah setiap tahun, terdapat budaya yang masih utuh diamalkan oleh masyarakat Melanau khususnya yang melibatkan peristiwa kematian ahli keluarga. Walau bagaimanapun, amalan tersebut berbeza-beza mengikut daerah dan kampung. Bagi masyarakat Melanau yang mendiami daerah Matu, amalan yang berkaitan dengan kematian sudah banyak dipengaruhi oleh agama Islam. Selepas selesai majlis pengebumian, ahli keluarga akan bersedia untuk mengadakan upacara "sare" iaitu seperti rumah terbuka selama 7 malam berturut-turut. Rumah keluarga si mati akan dikunjungi oleh sanak saudara dan masyarakat setempat. Akan tetapi ia sudah dipengaruhi oleh agama Islam secara dengan majlis tahlil, bacaan yassin, sembahyang berjemaah, dan kenduri arwah. Adalah fenomena biasa bagi satu keluarga Melanau yang orang tuanya menganuti agama tradisional, dan anak-anak menganuti agama Islam dan Kristian.

Bahasa Melanau mempunyai tatabahasanya yang tersendiri dan tidak begitu sukar untuk dipelajari. Sebagai satu bahasa yang mempunyai banyak dialek, bahasa melanau berkongsi tatabahasa yang serupa. Oleh itu apa yang perlu ditumpukan ialah kosa kata yang unik untuk dialek itu sahaja. Di alam maya laman untuk mempelajari bahasa melanau telah diusahakan oleh orang-orang melanau dan bukan melanau untuk memastikan kemandirian bahasa ini di zaman moden. Antaranya ialah Learn Melanau yang memfokuskan bahasa melanau mukah serta budaya melanau merentasi dialek-dialek.




Masyarakat Iban


Pahlawan Iban
Masyarakat Iban merupakan golongan majoriti di negeri Sarawak. Terdapat pelbagai suku kaum masyarakat Iban seperti Balau, Sebuyau, Lemanak dan lain-lain. Masyarakat Iban masih kuat berpegang dengan identiti tradisi mereka di samping mengamalkan pelbagai jenis adat resam yang unik. Dari segi geografi, kebanyakan masyarakat Iban mendiami beberapa kawasan pedalaman yang tertumpu di tengah-tengah negeri Sarawak dan sebilangan kecilnya menetap di kawasan-kawasan bandar. Maklumat berkaitan adat resam dan kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat Iban berikut akan memfokuskan tiga aspek utama dalam kehidupan mereka iaitu kelahiran, perkahwinan dan kematian.          
Secara tradisi kehidupan masyarakat Iban diatur oleh adat mereka yang amat rapat berkait dengan sostem pertanian berhuma (bumai) padi. Di atas kepercayaan kepada semangat padi maka pelbagai perayaan (gawai) dilakukan pada masa tertentu disepanjang tahun.
Gawai diketuai oleh beberapa ketua tertentu bergantung kepada jenis dan tujuannya. Permulaan upacara pertanian padi dilakukan oleh “Tuai Burung” yang melihat gerak-geri dan bunyi burung untuk memulakan acara. Kegiatan pertanian itu sendiri akan diketuai oleh “Tuai Rumah” sebagai ketua dalam rumah panjang. Apakala sampai kepada membaca sampi (jampi), doa dan tusut (salasilah) maka “Lemambang” akan melakukannya dengan melagukan “pengap”. Jika berlaku kesakitan atau sebagainya maka “Manang” akan melakukannya untuk pengubatan.
Dalam konsep masyarakat Iban, “Raja Entala” merupakan kuasa ketuhanan. Dialah yang melahirkan manusia yang menurunkan orang Iban yang memberi segala macam upacara, gawai dan pantang larang dan peraturan hidup bernama “adat”. Segala amcam peraturan, adat-istiadat dan upacara adalah adat.
Untuk memulakan kehidupan bertani maka “Tuai Burung” akan melakukan beburung iaitu melihat dan mendengar beberapa jenis burung. Bunyi burung akan memberikan petanda terhadap bertuah atau buruknya suatu kegiatan dan masa melakukannya. Bunyi burung tidak boleh diketepikan kerana akan mendatangkan bala serta kematian. Namun untuk menilik akan punca penyakit, “Manang” (pawang) akan menggunakan hati babi hutan.
Penyakit dikatakan berpunca dari pelanggaran terhadap “adat” terutama pantang (mali) dan larangan dalam berbagai upacara kepercayaan, kehidupan sosial dan juga kegiatan berhuma. Pelanggaran terhadap pantang berkaitan semangat padi adalah yang paling berat kerana ia melibatkan makanan dan hasil tuaian.
Disepanjang tahun masyarakat Iban merayakan suatu jenis Gawai tertentu bergantung kepada tahap bertani dan juga kehidupan seluruhnya. Gawai kecil adalah semacam doa selamat setelah berjaya mendapat sesuatu atau pun terelak dari bahaya.
Gawai utama ialah yang berkaitan dengan pertanian padi seperti Gawai Batu dan Gawai Benih. Jika berlaku ancaman nyawa masyarakat maka diadakan Gawai Kenyalang atau Gawai Burung, suatu perayaan amat besar yang melibatkan seluruh Rumah Panjang dan jarang dilakukan. Satu lagi Gawai terbesar ialah Gawai Antu yang memperingatkan arwah-arwah moyang-moyang mereka.
Dalam Gawai Utama inilah semua ketua adat akan memainkan peranan termasuk “Tuai Burung”, “Tuai Rumah”. “Lemambang” dan mungkin “Manang”. semua anggota rumah panjang dan jiran-jiran dari rumah panjang lain dijemput dalam perayaan itu. Ia bermula dengan seruan terhadap “antu” atau roh orang yang berkuasa terutama antu arwah-arwah ketua yang telah meninggal dunia. Sepanjang malam Lemambang akan melagukan “pengap” atau jampi menjemput antu dan roh dari seluruh alam untuk bersama. Ketika itu juga makanan dan minuman tuak diedarkan oleh semua bilik dalam rumah panjang dan semua bergembira.
Kehidupan masyarakat Iban berlaku dalam rumah panjang, bilik-bilik dan juga ruang tertentu dalam rumah panjang itu. Di situlah mereka melahirkan anak, berkahwin dan kemudian meninggal dunia dan dikebumikan di kawasan berdekatan rumah panjang. Adat mengatur semua segi kehidupan termasuk nilai utama, kebiasaan harian dan juga hukuman yang melanggar pantang yang berat.
Kanang ak Langkau - Pahlawan Iban